Teks: Nazirah Bugal
Foto:Google
Bismillahhirrahmannirrohim. .
Asssalamualaikum. .
Salam perkenalan dari saya. Nama penuh saya Nazirah binti Bugal. Saya dilahirkan di negeri Perak Darul Ridzuan. Kalau pertama kali orang jumpa saya dan tahu nama penuh, mesti semua bertanya saya ni orang Sabah ke? Entah kenapa mereka menyangka begitu. Sebab nama ayah saya yang sedikit pelik mungkin.Sebenarnya ayah saya berketurunan Jawa dan emak saya Melayu Jawa. Jadinya saya ni orang Jawa yang suka makan tempe (makanan yang sinonim dengan bangsa Jawa).
Mendapat pendidikan awal di Bagan Datoh Perak. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Vokasional(ERT) Setapak. Kini di kenali dengan Kolej Vokasional ( di naik taraf menjadi kolej). Bangga pernah menjadi salah seorang murid di situ. Pada tahun pertama saya berada di sana, sekolah ini hanya menawarkan tiga kursus iaitu seni kulinari, fesyen jahitan dan solekan dandanan. Masuk tahun ke dua ditambah satu lagi kursus iaitu perkembangan kanak-kanak. Pada ketika itu saya mengambil kursus seni kulinari. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya memilih bidang itu. Yang pasti ianya bermula di mana saya mempunyai sahabat baik seramai 4 orang termasuk saya. Selepas tamat SRP kami bertiga (seorang lagi melanjutkan pelajaran ke sekolah agama) bercadang memohon ke sekolah vokasional. Saya memilih seni kulinari , manakala seorang lagi memilih jahitan dan seorang lagi memilih solekan. Angan- angan masa itu , nanti seorang buka restoran, seorang buka kedai jahitan dan seorang lagi membuka kedai solekan. Itulah cita-cita kami tetapi rezeki berpihak kepada saya. Saya mendapat panggilan pertama. Manakala teman yang memohon kursus solekan mendapat panggilan kedua. Dan seorang lagi teman tidak mendapat panggilan kerana keputusan SRP yang tidak memuaskan.Setelah tamat persekokahan saya mengambil kursus -kursus pendek berkaitan pastry. Saya bekerja di beberapa buah kedai kek sebelum menceburkan diri di dalam bidang perhotelan.
Setelah bermula memasuki bidang perhotelan saya terus berada di beberapa hotel. Mengutip ilmu dari chef -chef yang sangat saya kagumi. Mereka sangat bersemangat dan sangat memberi seratus peratus tumpuan dan fokus pada kerjaya mereka. Mungkin dari situ juga saya banyak belajar disiplin diri dan menjadi orang yang sangat bertanggungjawab atas setiap tugas yang diberikan oleh ketua. Ketua chef selalu memberi tugasan-tugasan yang mencabar kepada saya. Dan dengan izin dan rezeki dari yang Maha Esa, saya dinaikkan pangkat hampir setiap tahun. Alhamdulillah. Kini saya memegang satu jawatan penting di dalam kulinari tim.
Kemahiran saya adalah di dalam bidang pastri. Kepakaran saya membuat kek perkahwinan dari satu tingkat hingga ke lapan tingkat atau lebih. Membuat choc praline, "choc sculpture", dekorasi coklat. Dessert-dessert yang biasa didapati dihotel-hotel terkemuka. Saya pernah memenangi beberapa pertandingan dessert, kek perkahwinan , coklat antara hotel-hotel. Di samping itu, saya pernah juga mempersembahkan kek untuk agong-agong negara kita di hari keputeraan mereka.
Saya pernah menjalankan pelbagai-bagai bisnes sebelum ini tetapi semuanya terpaksa dilupakan kerana tuntutan kerjaya yang memerlukan saya berada di hotel lebih 8 jam dan sekurang kurangnya 12 jam sehari atau lebih. Sekarang saya cuma mengambil tempahan yang mudah sahaja. Contohnya sekarang saya menjadi pembekal biscotti ke salah sebuah restoran terkemuka. Dan bila menjelang hari raya saya mengambil kesempatan menjual biskut raya.
Matlamat saya menyertai Akademi bekerja dirumah adalah ingin menambah ilmu berblog. Mana satu hari nanti saya akan menjalankan bisnes secara online. Mungkin juga dapat berkongsi ilmu bisnes makanan yang ada pada saya ini dengan mereka yang memerlukannya. Dan yang penting saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersama suami dan anak kecil saya yang berusia 5 tahun.
Wassalam..